May 28 2008

madie-dha

Sifat-Sifat Wanita Ahli Syurga

Posted at 9:17 pm under Uncategorized

Siapakah wanita yang menjadi ahli Syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita memasuki syurga?

Sebuah hadis Nabi menyatakan:
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila
seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan
(Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh
memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai
."

(Hadis Riwayat Ahmad)


Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat
dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah
memasuki syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna
melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.

Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya
perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat
ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan
berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia,
kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah
amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut.
Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain
"

(Hadis riwayat at-Tirmizi)


Disamping menunaikan kewajipan kepada Allah,
menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita.

Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan
dan rahmat Allah kepadanya. Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal
yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh
diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai
sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga
dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang
kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang
tidak elok didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika
salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak."
(Hadis Riwayat Baihaqi)


Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang,
iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara
kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu
Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:

"Apabila sesesorang itu
terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila
seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang
itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu
menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang
beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi
seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah! "


Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan
oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami
adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda:

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan
berperang dan bertempur dengan
musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada
isteri-isteri yang menyempurnakan

hak-hak suami mereka." 
(Hadis riwayat Al Imam Bazzar)


Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam
sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian
yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak.

Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai
dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa
bersikap baik kepada suami. Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu
meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah
bersabda:

"Seorang wanita yang menyakiti hati
suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah,
para malaikat dan umat manusia."


Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis
mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.

"Wanita yang berkata kepada suaminya
yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan
segala perbuatan baiknya selama 70 tahun,

walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya."
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)


Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah
mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab
kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan
mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha
Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di
akhirat.

Iluvislam

 

No responses yet




Comments RSS

Leave a Reply